Thursday 5 September 2013

Info Harga Minyak Naik..

Semua Pihak Perlu Berkorban Demi Keselesaan Hidup
PENGUMUMAN kerajaan mengenai harga baru petrol dan diesel berkuat kuasa tengah malam tadi adalah sebahagian daripada mekanisme baru skim subsidi bahan api. Inilah antara usaha kerajaan untuk mengurangkan pembiayaan subsidi bahan api sebanyak RM53 bilion setahun.
Jika subsidi yang besar itu dapat dikurangkan bermakna, wang tersebut dapat diagih untuk disalur kepada projek pembangunan untuk rakyat.
Memandangkan kenaikan harga minyak global yang mendadak naik sejak tahun lalu, adalah wajar satu formula mengurangkan subsidi minyak dilakukan sekarang. Harga minyak bukan lagi naik setakat AS$70 setong pada tahun 2006 dahulu tetapi kini pernah melepasi AS$137 setong baru- baru ini.
Walaupun Perdana Menteri mengumumkan harga baru bahan api, tetapi hakikatnya kerajaan masih berusaha memastikan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat dapat diringankan terutama golongan berpendapatan rendah.
Walaupun harga minyak diapungkan mengikut harga pasaran global sekarang, tetapi ia masih menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api yang terendah di rantau ini.
Malah bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju 'memulangkan' wang subsidi dalam bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.
Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai, mereka mendapat pengurangan cukai jalan mengikut kadar tertentu berkuat kuasa 1 Jun 2008.
Begitu juga untuk mengurangkan bebanan kos kenaikan diesel bagi syarikat pengangkutan yang diluluskan, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan, kerajaan bermurah hati membayar dalam bentuk tunai atau insentif.
Selepas pengumuman Perdana Menteri semalam, sudah tentu rakyat mengharapkan para peniaga tidak menjadikan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Semua pihak harus berkorban sedikit demi kebahagiaan bersama. Masalah harga barangan tidak mungkin selesai jika setiap kali berlaku kenaikan harga minyak perlu diikuti peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Peniaga harus juga menunjukkan tanggungjawab moral dan sosialnya kepada rakyat negara ini.
Kita wajar sedar bahawa selama ini rakyat sama ada pekerja swasta atau awam, peniaga atau petani berjaya mencapai mutu hidup seperti sekarang adalah hasil nikmat daripada kewujudan subsidi minyak.
Oleh itu, penarikan balik subsidi minyak hari ini harus menyedarkan rakyat bahawa mereka perlu berkorban dan mengubah tabiat berbelanja.
Urusan mengubah tabiat berbelanja ini berkait rapat dengan berjimat cermat dalam semua bentuk perbelanjaan bagi membolehkan hasil penjimatan ini digunakan untuk menampung harga minyak yang tidak disubsidikan lagi.

No comments:

Post a Comment