Thursday 5 September 2013

Minyak...Oh Minyak..

Pengguna Mesti Kreatif Hadapi Krisis Minyak
Sudah banyak keluhan dan kegusaran yang kita dengar berikutan isu harga minyak yang terus mencatatkan rekod tertinggi saban hari. Para individu, syarikat-syarikat dan pihak kerajaan di seluruh dunia semakin waspada dengan senario kenaikan sekarang. Rakyat Malaysia meskipun cemas dengan berita kenaikan harga minyak, tetapi masih mendapat subsidi yang sedikit sebanyak menjadikan pengguna di negara ini tidak begitu terdedah secara langsung dengan keadaan pasaran minyak semasa.
Berpeluang tinggal di Australia dan menggunakan kereta di sini, kesan kenaikan harga minyak dunia sangat dirasai. Keadaan di Australia agak berbeza kerana stesen petrol di sini meletakkan harga minyak mengikut perubahan harga pasaran.
Lebih memeritkan, pembelian minyak juga dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Ini menjadikan para pemandu di sini lebih merasakan bahana krisis sekarang. Berikutan harga minyak di Australia yang berubah mengikut harga semasa, para pengguna di sini responsif dengan perkembangan yang berlaku.
Apa yang menarik, dalam keadaan krisis yang memuncak, manusia menjadi semakin kreatif. Pelbagai kaedah dicari sebagai alternatif untuk mengurangkan beban kenaikan kos bahan bakar.
Antaranya, terdapat pengguna yang menggunakan minyak masak sayuran yang dikitar semula sebagai bahan api kenderaan. Perkara ini semakin popular dan semakin banyak kajian sedang dijalankan bagi mempertingkatkan kadar efisiensi pembakaran.
Ada juga yang menaiki kuda sebagai kenderaan. Kuda sukar diperolehi di Malaysia, tetapi alternatif basikal boleh diambil kira. Kedua-dua kaedah ini selain tidak memerlukan minyak, membolehkan kita beriadah di samping mesra alam. Rasanya, penggunaan motosikal adalah lebih popular bagi kebanyakan kita di Malaysia.
Jika rakyat Malaysia memilih alternatif bermotosikal sebagai langkah berjimat, sayugia diingatkan agar para penunggang motosikal lebih berhati-hati. Seperti kita sedia maklum, korban di jalan raya di Malaysia kebanyakannya melibatkan mereka yang bermotosikal.
Selain itu, terdapat juga ura-ura penerbangan tambang murah JetStar akan memperlahankan kelajuan kapal terbangnya bagi mengurangkan penggunaan tenaga. Dengan ini pihak syarikat dikatakan tidak perlu menaikkan tambang tiket di mana jika ini dibuat, tiadalah maknanya istilah penerbangan tambang murah lagi.
Jika harga minyak dunia terus melonjak, diramalkan kerajaan Malaysia akan terpaksa memindahkan sedikit beban kenaikan ke atas para pengguna. Pasti pengguna di Malaysia kecewa kerana kita punya syarikat minyak nasional yang pada hemat ramai, jika wang hasil minyak cermat diurus, manfaat kepada ramai wajar sama-sama kita rasai.
Para pengguna perlu mengambil langkah awal sebelum harga minyak mencecah AS$200 setong. Jika anda selama ini berulang berpuluh-puluh kilometer dari tempat kerja, mungkin mencari rumah yang dekat dengan pejabat perlu difikirkan. Kebergantungan terhadap pengangkutan awam juga akan semakin meningkat dalam keadaan harga minyak yang tinggi. Di sini, tahap kecekapan sistem pengangkutan awam di Malaysia perlu direformasikan.
Cadangan mewujudkan bas ekspres rakyat juga adalah sesuatu yang baik. Yang kurang enaknya, jurang kaya dan miskin mungkin semakin ketara. Mungkin kita akan kembali seperti dulu, boleh memilih menaiki bas berhawa dingin atau bas tidak berhawa dingin (boleh dibuka tingkapnya).
Alternatif lain ialah dengan berkongsi kenderaan ke tempat kerja. Mungkin para majikan juga perlu dirayu untuk menaikkan elaun perjalanan.
Melihat dari sudut positif, kesempatan krisis minyak kali ini juga sejajar dengan kegawatan peningkatan suhu dunia. Semakin kita berusaha mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, semakin kuranglah kesan negatifnya kepada alam sekitar.
- MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD, University of Tasmania, Australia

No comments:

Post a Comment